Jumlah Pelawat Captain Mus

Popular Posts

Thursday, 21 July 2011

Aku Dan Kenangan .............Part I



PART   I
Dilahirkan dalam keluarga sederhana  pada  bulan Mac 49 tahun yang lalu. Dalam usia 3 tahun  tidak sempat untuk aku menikmati kasih sejati seorang  ibu  , ibu tersayang meninggalkan aku untuk selamanya.  Dijemput menemui Ilahi tempat dimana aku jua akan kesana akhirnya. Hidup tanpa ibu sejati bermula dari saat itu . Setelah kematian ibu aku dipelihara oleh ibu saudara   dan tinggallah aku  bersamanya untuk  sekian lama di kampung dan rumah yang berhampiran .  Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kg Sepulau dan meneruskan pelajaran  di Sekolah Menengah Semerak   kemudian ke  Istitut Kebangsaan Machang. Genap umur 18 tahun aku mengikuti Kursus Pegawai Kedet di Sekolah Pegawai Kedet ,Sebatang Kara Port Dickson  Negeri Sembilan. Banyak juga kawan kawan yang cuba berkenalan pada ketika itu .Ya lah bakal  pegawai tentera dengan penuh segak dan berdisiplin.
Perkenalan aku dengan seorang insan bernama Imah  bermula di Kem Kijang  sebelum aku memasuki Sekolah Pegawai Kedet  namun ianya berakhir  entah kemana dan khabarnya kini imah menetap di Kemaman  juga berkhawin dengan seorang pegawai tentera. Meninggalkan aku tanpa sebarang berita ketika itu  . Atas  rasa kekecewaan  aku membina  sebuah  cinta  bersama  gadis  bernama Normilani  atau Mira  dan lucunya kami gabungkan nama itu menjadi Musmilani sehinggakan aku menamakan anak sulungku sebahagian dai namanya   sebagai mengingati kisah kami berdua.  Cinta monyet antara aku dengan dia  tidak sampai kemana. Perhubungan  ini  berakhir apabila dihalang oleh keluarganya terutama ibunya  ,  kononnya tidak  mahu bermenantukan  seorang tentera.  Aku pasrah. Tapi  Allah Maha Adil. Normilani yang aku kenal sebagai Mira itu  akhirnya berkhawin dengan seorang tentera  laut dan khabarnya kini menetap di Kuantan. Namun aku doakan dia tabah menghadapi ujian Allah apabila  dikurniakan seorang anak istimewa. Aku mengharapkan ketabahannya. Aku masih ingat dia mengirimkan sehelai sejadah dan sehelai kain pelekat pada aku dekala aku sedang menjalani operasi  di dalam hutan di Perak . 
 Setelah 9 bulan di Sekolah Pegawai Kedet aku di tauliahkan sebagai Leftenan Muda pada tahun 1981 didalam Kor Rejimen Renjer Diraja. Aku ditukarkan ke Batalion Kedua Rejimen Renjer berpengkalan di Kem Majidee Johor Bharu.Pada waktu itu Pegawai Memerintah   ( CO ) adalah Leftenan Kolonel Rahman Salim . Baik orangnya berasal dari Johor. Disini bermula kehidupan aku sebagai Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Muda.Melalui tempoh suai kenal   sebagai Pegawai Tentera  di Mes Pegawai  amat memeritkan. Namun  setelah tempoh itu berakhir  ianya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.Kawan kawan senior seperti Kapten Azman , Leftenan Mohd Nor , Kapten Azni ,  Kapten Jaal Kamal ( Kapten Jack ) menjadi kawan rapat . Mungkin sekarang mereka ini  sudah berpangkat tinggi sekurang kurang sebagai Leftenan Kolonel atau one star Jeneral  yang sudah bergelar Dato’ dan  ada yang mengikut jejak aku menamatkan perkhidmatan lebih awal.
Di Wisma Perwira tempat penginapan pegawai  , aku ditempatkan di bilik paling hujung . Kenangan yang sukar untuk dilupai  setiap petang sebaik sahaja aku tiba dibilik penginapan ada seseorang yang akan  bersembahyang diruang tamu rumah 2 tingkat  berhampiran Mes Pegawai  kem Majidee  dengan jarak lebih kurang 400 meter  dari bilik aku . Selepas menunaikan solat dia akan melambai lambai tangannya.

Dalam usia yang sebegitu memang aku rasa keseronokannya. Setiap petang aku akan jogging mengelilingi taman itu yang dikenali sebagai Taman Sentosa  dan akhirnya aku berkenalan dengan sipelambai sebagai Saerah, orang nya putih dan sentiasa tersenyum , gelak sukar dihentikan dan agak  melucukan . Boleh tahan juga rupa parasnya. Ramai yang mencuba tapi tidak berjaya.   Tiada apa  apa hubungan terjalin antara aku dengan Saerah ianya berakhir  begitu sahaja. 
Sebagai Pegawai Muda aku  dihantar kursus Tempur  Pegawai Muda untuk  tempoh 3 ke 4 bulan diKem Paradise Kota Belut, Sabah . Satu pekan comboy  yang amat menyiksakan. Bertolak dari Port Klang dengan Kapal Sang Fajar  dan tiba di Kota Kinabalu  pada waktu petang setelah berada di dalam kapal tersebut beberapa hari. Dari Kota Kinabalu  kami diturunkan sebelum   Jambatan Tamparuli kononnya  jambatan  itu runtuh kerana diserang  oleh tentera musuh , kami satu kapal diarahkan  melintasi sungai Tamparuli dimalam hari dan berjalan kaki   ke Kota Belut pada malam itu melalui jalan bukit dengan jarak lebih dari 36 km. Aduh aku mula rasa tersiksa.  Sampai di Kem Paradise Kota Belut kami disambut oleh jurulatih dan komanden Sekolah Tempur Pegawai Muda . Komandan bertopi dan menaiki kuda yang aku kenali sebagai GUNTUR  ( Leftenan Kolonel ). Bermula satu latihan yang amat memenatkan tapi penuh keseronokan.Aku kembali ke Kem Majidee setelah  tamat menghadiri kusus.
Setelah  5 tahun aku berada di Kem Majide akhirnya aku berkenalan pula  dengan seorang gadis berambut panjang  paras pinggang  anak kepada seorang bekas tentera yang tinggal bersebelahan  Kem Majidee. Setiap hari dia dan kakaknya akan berjalan melalui kompek Wisma Perwira untuk pergi bekerja di bandar. Akhirnya aku mengenali gadis ini. Dan dialah isteri tersayang yang diinjabkabulkan pada April 1985. Majlis perkhawinan dibuat sederhana  tapi malangnya atas dengki seseorang dalam cuaca yang amat baik  majlis yang berjalan secara teratur tiba tiba hujan lebat dan angin ribut  meruntuhi kemah   . Biarkan kan  kerana Allah itu Maha Adil dan pasti ada balasannya.
Aku kemudian  ditukarkan ke Kem Oya Sibu , Sarawak  . Pertukaran  yang melibatkan  1 bataion iaitu suatu jumlah yang ramai . Seronok juga  berada disana  biarpun  agak membosankan.  Apa tidaknya berada di tempat yang agak terasing dengan rumah papan  sebagai kuaters. 
Setelah hampir satu tahun setengah berada di Kem Oya aku dinaikan pangkat  Kapten dan ditukarkan sebagai Pegawai Turus Gerak 3 di Markas 1 Div Kuching. Panglima 1 Div ketika itu adalah Mejar Jeneral Dato Mustafa .  Masih segar dalam ingatan aku  sebelum di tukar ke Kem Palm Road  aku membeli sebuah kereta Mini Cooper dengar harga RM 1800.00,  satu ketika aku berlumba dengan  Mejar  Shamsudin dari bandar  Sibu ke Kem Oya dengan memandu kereta Alfa Romeo. Dalam perlumbaan itu  tiba tiba  kereta yang dipandu laju oleh aku tercabut steringnya dan aku tersandar di tepi bukit. Allah masih sayangkan aku ketika itu.Ugh bayangkan dimana letaknya hati aku waktu itu.
Semasa bertugas sebagai Pegawai Turus 3 Gerak  , suatu  peristiwa dan sejarah  yang tidak dapat dilupai  dan  amat menyedihkan apabila berlaku nahas  helikopter yang melibatkan  kematian Mejar Jeneral  Dato Mustafa , Brig Jeneral   Dato Hasbulah  (Brig  Jeneral Bon ) , Leftenan Kolonel Mustafa dan beberapa pegawai yang lain setelah hanya beberapa minit berlepas dari  lapangan terbang TUDM  . Kepada yang terkorban aku  hadiahkan Alfatihah. Aku bersyukur  kerana nama aku mulanya turut tersenarai untuk lawatan itu tapi di keluarkan disaat akhir.
Pada ketika itu di Markas 1 Div ada 4 orang yang bernama Mustafa   iaitu Mejar Jeneral Dato Mustafa  ( Panglima Markas 1 Div ) , Leftenan Kolonel  Mustafa ( Pegawai Turus 1 – Gerak , Kapten Mustafa  iaitu aku ( Pegawai Turus 3 – Gerak dan Koperal Mustafa  , kerani  Bahagian Gerakan dan Risik. Allah masih sayangkan aku . Syukur .
Masih  aku ingat kawan kawan rapat ketika itu  seperti Kapten Ramli ( kini Brig Jen Bergelar Dato’ – Tahniah ) , Kapt Azizan ( Kini juga seorang Brig Jen Bergelar Dato – Tahniah ) bersama sama aku  .Apakah kiranya jika aku meneruskan sebagai pegawai tentera , mungkinkah  aku juga mengikuti  jejak  mereka. Tapi rezeki telah di tentukan oleh yang Maha Esa.Tahniah kepada  kawan kawan aku yang telah bergelar Dato dan Datin.
Tekanan bekerja pada waktu itu membuat aku mengambil keputusan  untuk menamat perkhidmatan   sebagai pegawai tentera. Suatu keputusan yang kurang bijak  dan  membuat aku menyesal hingga kini namun atas perinsip ketentuan  Allah aku redha.  Aku  kemudian ditukarkan ke Bn pertama Rejimen Renjer  Kem Majide untuk menjalani kursus peralihan dan hal hal berkaitan dokumentasi . Akhir tahun 1991 aku menamatkan perkhidmatan tentera  dan menjalani kursus peralihan di Syarikat Kawalan Keselamatan dengan harapan dapat membuka syarikat  kawalan keselamatan sendiri . Birokrasi dalam mendapat lesen membuat aku  mengambil jalan selamat dengan meneruskan perkhidmatan dalam kerajaan  dibahagian Penguatkuasa disebuah  jabatan kerajaan. Bermula Julai 1992 aku mula  berkhidmat dalam perkhidmatan awam   dan  disini banyak kenangan yang sukar dilupai    . Ikuti Part II….

Captmus …..21 Julai 2011 @ 0100 pagi  …..

No comments:

Post a Comment